Assalammualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat sejahtera

Alhamdulillah dengan izin dan limpah kurniaNya yang sentiasa memberi kita nikmat dan masih memberi kita peluang dan kesempatan untuk terus bekerja menabur bakti, menyumbang idea dan tenaga untuk meneruskan kecemerlangan pendidikan negara. 
 
Saya begitu berbangga dan berbesar hati atas pembinaan website sekolah. Medium ini akan digunakan sebagai perantara antara sekolah, ibu bapa, murid-murid serta seluruh masyarakat yang ingin mendapatkan info tentang SK Taman Universiti 2, Johor Bahru. Selain itu, website ini juga akan digunakan sebagai saluran informasi pelbagai aktiviti sekolah yang telah dirancang dalam takwim persekolahan.
 
Setinggi-tinggi tahniah dan syabas buat seluruh warga sekolah yang telah berjaya mengharungi pelbagai cabaran sepanjang pengoperasian sekolah ini serta dapat menyempurnakan sesi pembelajaran dan pengurusan sekolah dengan cemerlang. Bukan mudah untuk berdepan dengan pelbagai masalah yang dihadapi tetapi kita percaya segala yang berlaku memberi seribu hikmah untuk kita kecapi bersama. Pelbagai usaha penambahbaikan juga telah dan akan kita lakukan dari semasa ke semasa. Harapan saya adalah kita bersama-sama bergerak dengan lebih pantas dalam usaha membentuk murid yang mampu mendepani cabaran masa hadapan.
 
Dalam usaha untuk memajukan prestasi sesebuah sekolah, satu perancangan yang teliti dan sistematik adalah perlu. Oleh yang demikian, pihak sekolah telah membuat perancangan yang dijangkakan akan memberikan impak yang lebih baik bagi meningkatkan prestasi sekolah untuk tahun ini dan tahun-tahun yang seterusnya. Semoga SK Taman Universiti 2 akan terus dapat mencapai prestasi yang membanggakan dan melakarkan kejayaan yang lebih gemilang dalam semua bidang iaitu akademik, kokurikulum sahsiah dan juga disiplin.
 
Melalui website ini diharapkan dapat merapatkan ukhuwah antara pihak sekolah dengan masyarakat di luar sana terutamanya ibu bapa, PIBG, PIBKS serta komuniti dalam merealisasikan segala harapan dan visi sekolah. Saya percaya berkat kerjasama dan permuafakatan warga sekolah serta sokongan pelbagai pihak, kejayaan yang telah tercipta akan dapat dikekalkan dan mampu menggapai kejayaan yang lebih cemerlang, In Shaa Allah. Akhir kata, sama-sama kita mendoakan kesejahteraan buat seluruh warga sekolah agar objektif untuk memastikan kecemerlangan sekolah dan kemenjadian murid yang mempunyai disiplin yang tinggi serta berupaya menjadi insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara akan tercapai.
 
Sekian, terima kasih.
TOGETHERNESS FOR SUCCESS
 
Salina binti Ithnin
Guru Besar U2