Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin muda telah berlangsung SK Taman Universiti 2 pada hari ini. Majlis yang berlangsung pagi tadi telah dijalankan di Dewan Ibnu Sina SK Taman Universiti 2 yang dihadiri oleh Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Guru Besar, barisan pentadbir, guru-guru dan murid-murid.
Program dimulakan dengan perhimpunan rasmi dan ucapan guru besar. Seterusnya majlis disempurnakan dengan ucapan perasmi majlis iaitu Pegawai Perhubungan Sekolah, Sarjan Noorhazrin binti Ramli yang turut memberikan suntikan semangat dan nasihat berguna kepada para pemimpin yang dilantik.
Seramai 286 orang pemimpin muda telah menerima watikah pelantikan sebagai barisan pemimpin muda sekolah yang terdiri daripada Student Leader Board (SLB), Pengawas Sekolah, Pengawas Pusat Sumber (PSS), Pembimbing Rakan Sebaya (PRS), Skuad KRMJ, Skuad Musolla, Skuad SPBT, dan Skuad Lestari. Bacaan ikrar pemimpin muda dipimpin oleh ketua murid, Merwin Nair A/L Anantha Kumar. Mereka yang dilantik akan membantu guru-guru melicinkan bagi operasi pemantauan disiplin sekolah, pengagihan buku teks sekolah dan melaksanakan tugas-tugas yang berkaitan dengan bidang tugas mereka.
Pihak sekolah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini, khususnya kepada PPS Sarjan Noorhazrin binti Ramli atas kesudian beliau merasmikan majlis berprestij ini. Semoga para pemimpin muda yang dilantik dapat menjalankan amanah dengan penuh dedikasi dan berperanan sebagai ejen perubahan yang positif di sekolah.










